SELAMAT DATANG KE JALAN BAHAGIA(Semoga kita semua beroleh manfaat dan syafaat dariNya)

Thursday, January 20, 2005

Teori Weber

Pendekatan birokrasi merupakan suatu pendekatan yang menekankan tentang perlunya sesebuah organisasi untuk itu beroperasi secara rasional dan bukan hanya bergantung kepada pemilik atau pengurus. Pendekatan ini diperkenalkan oleh seorang ahli sosiologi yang terkenal dari Jerman iaitu Max Weber. Weber telah membentuk satu teori struktur autoriti dan menerangkan kegiatan organisasi berdasarkan kepada perhubungan autoriti. Beliau menghuraikan birokrasi dalam berorganisasi dalam beberapa ciri utama iaitu :

1) Pengkhususan pekerjaan
2) Peraturan dan tatacara yang formal
3) Impersonaliti
4) Hirarki autoriti yang telah ditentukan

Mengikut kepada pengalaman saya yang menceburkan diri dalam sebuah organisasi X dibawah Unit Perhubungan dan Latihan Pelajar (UPLP, HEP) di UKM, apa yang saya dapat lihat ialah teori Weber masih digunapakai dalam organisasi tersebut untuk menjalankan program yang dijalankan. Di dalam organisasi tersebut, pengkhususan kerja diterapkan kepada ahli supaya jelas dan faham kehendak dan kemahuan yang diperlukan oleh organisasi tersebut. Di samping itu, hal ini secara tidak langsung membuatkan para ahli bersaing dalam kerja masing-masing. Sebagai contoh, dalam organisasi yang saya terlibat ini mempunyai beberapa jawatan yang dipegang oleh ahli-ahli. Mereka bertanggung jawab untuk memantapkan kemahiran mereka mengikut bidang tugas mereka.

Di samping itu, terdapat peraturan dan tatacara yang formal dalam organisasi tersebut. Peraturan dan tatacara yang bertulis menerangkan perlakuan yang diingini oleh pengerusi daripada ahli. Secara tidak langsung, dengan cara ini akan dapat menyatukan mereka dan memastikan keberkesanan di dalam sesuatu tugas atau tanggungjawab yang diberikan. Sekiranya peraturan dan tatacara ini tidak dipatuhi oleh ahli, mereka akan dikenakan denda atau sebarang bentuk teguran untuk memastikan ahli mematuhi kawalan tersebut. Sebagai contohnya, melalui pengalaman saya semasa membabitkan diri dalam organisasi X tersebut, jenis kawalan yang dilakukan ialah sekiranya seseorang ahli itu berkelakuan tidak senonoh (melakukan maksiat dan sebagainya yang boleh mencacatkan maruah organisasi itu) seseorang itu boleh disingkirkan daripada organisasi tersebut secara serta-merta.
Sesuatu peraturan, tatacara dan penguatkuasaan perlu diaplikasikan secara seragam tanpa mengira personaliti individu dan pertimbangan perseorangan. Ini boleh mengelakkan daripada sikap berat sebelah atau bias. Jikalau perkara impersonality ini tidak dipandang serius oleh pengerusi dan ahli-ahlinya, nescaya organisasi tersebut tidak akan bertahan lama kerana ia akan mengakibatkan masalah dalaman yang boleh menghancurkan organisasi tersebut.

Melalui pengalaman saya menjadi ahli dalam organisasi X tersebut, mendapati hirarki autoriti seseorang adalah berdasarkan kepada senioriti dalam organisasi terbabit. Semakin senior seseorang ahli maka, mereka dianggapkan mempunyai tahap dan prestasi yang sangat tinggi serta mereka menjadi tempat rujukan oleh semua ahli berdasarkan kedudukan mereka yang tinggi itu. Walaubagaimanapun sekiranya seseorang junior itu mempunyai tahap pencapaian dan mempunyai prestasi yang agak baik, mereka akan dipertimbangkan untuk diberikan jawatan yang tinggi dalam organisasi X tersebut. Kini apa yang saya dapat lihat bahawa teori weber ini telah menembusi terutamanya di kebanyakan institusi sosial seperti organisasi X untuk memaksimumkan produktiviti dan keberkesanan organisasi.

No comments: