SELAMAT DATANG KE JALAN BAHAGIA(Semoga kita semua beroleh manfaat dan syafaat dariNya)

Sunday, November 06, 2005

Sedikit PengeTahuAn TentaNG AliRan AnTi Hadis

1.0 Pendahuluan

Islam dan penganutnya dari zaman Rasulullah iaitu 14 abad yang lalu hingga kini tidak pernah sunyi daripada di noda sama ada dari luar mahupun dari dalamnya sendiri. Pada setiap zaman pasti akan muncul orang-orang yang mengaku dirinya sebagai ‘Nabi. Pembaharu, penyelamat dan sebagainya. Sebilangan kecil daripada umat Islam telah berjaya dipengaruhi dan telah termakan dengan seruan-seruan mereka itu.

Hal ini adalah disebabkan oleh faktor pendeknya akal fikiran manusia di dalam menilai sesuatu serta dibantu oleh faktor kurangnya didikan agama. Umat Islam digesa dan dianjurkan supaya berlaku adil terhadap diri sendiri dengan tidak tergesa-gesa menerima sesuatu ajaran tanpa dikaji atau dipelajari ilmu agama dengan sebaiknya terlebih dahulu.

Antara perosak-perosak agama yang berjalan dengan liciknya ialah seperti Kumpulan Aliran Anti Hadis yang secara langsung telah menolak Hadis/ Sunnah kerana bagi mereka persoalan agama telah lengkap terisi di dalam al- Quran. Di dalam kertas kerja ini akan cuba dihuraikan tentang Kumpulan Aliran Anti- Hadis ini serta pengaruhnya terhadap masyarakat Melayu di Malaysia.



2.0 Pelopor Ajaran Anti Hadis

Fahaman Anti Hadis adalah salah satu alternative para orientalis musuh Islam untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Fahaman ini lahir lebih kurang pada tahun 1874 hasil pemikiran seorang orientalis Yahudi bernama Professor Doktor Goldziher. Beliau dilahirkan di Hungaria sekitar tahun 1850 dan meninggal sekitar 1921.

Beliau merupakan seorang keturunan Yahudi tulen. Dalam usia yang cukup muda iaitu 19 tahun Goldziher dilantik menjadi Doktor dalam bidang Islamologi di Jerman. Goldziher mendapat biasiswa unuk belajar di universiti Al- Azhar pada tahun 1873 hingga 1874 bagi memperdalam pengetahuan Islam. Hali ini dilakukan bukan bagi menabur bakti untuk Islam dan umatnya bahkan bermaksud bagi menghancurkan Islam dari dalam dengan mencetuskan fahaman anti hadis kerana ia yakin bila hal ini diterima oleh umat Islam, pasti Islam sendiri akan hancur dari dalam.

Selama 30 tahun antara 1876 hingga 1904 Goldziher menjadi Setiausaha Masyarakat Israil Moden di Budapest. Dan selama 14 tahun (1900-1914) dia mengajar Filsafat Agama Yahudi di Jewish Theological Seminatary (Sekolah Missi Ketuhanan Yahudi) Budapest.

Orang Yahudi membuat kesimpulan yang cukup berguna iaitu mereka tahu bahawa semakin banyak orang Islam mendapat gelaran Sarjana semakin sintinglah cara berfikir mereka tentang Islam kecuali yang benar-benar belajar dengan ikhlas. Mereka inilah nanti yang menjadi pemangkin di Negara-negara Islam dengan slogan “ Pembaharuan Islam”.

Secara tidak langsung juga dengan membaca buku-bukub yang ditinggalkan oleh pelopor Anti-Hadis ini sebanyak 200 judul, kini buah pemikiran Goldziher sudah tersebar dimana-mana terutama sekali mereka yang mengecapi pendidikan di perguruan Tinggi dan Universiti yang dikelola oleh jaringan zionis internasional. .
(Hj Isa Ismail & Yusof Hj Wanjor. 1996 : 1)


3.0 Pokok- Pokok Ajaran Anti Hadis

3.1 Tentang Dua Kalimah Syahadah

Dua kalimah syahadah seperti yang kita lafazkan, mereka tidak mengakui kerana pada pandangan mereka, lafaz itu tidak ada didalam al-Quran. Maka itu ‘syahadat’ mereka ialah : “ asy-hadu bi-ana muslimun”. Mereka juga mengatakan dengan menambah “ wa-asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah” beerti kita telah menyekutukan Allah dengan Muhammad, dengan itu kita telah berbuat syirik.

3.2 Tentang Solat

Cara mereka mengerjakan solat bermacam-macam, berdasarkan pemahaman mereka terhadap sesuatu ayat Al-Quran. Mari kita imbas amal solat mereka seperti dibawah:

3.2.1 Ada yang mengerjakan solat sebagaimana dilakukan oleh jumhurul muslimun. Kelompok ini terdiri dari orang-orang yang baru mengikuti ajaran-ajaran mereka atau untuk mempengaruhi orang lain agar mahu mengikuti ajaran mereka. Tetapi mereka berpegang bahawa waktu Subuh bermula jam 5.00 pagi hingga jam 9.00 pagi dengan beralasan bahawa agar tidak mengganggu tidur.

3.2.2 Ada yang solatnya rata-rata 2 rakaat, iaitu Asar (2 rakaat), Maghrib (2 rakaat), Isyak (2 rakaat), Subuh (2 rakaat) dan Zuhur (2 rakaat). Tetapi bacaannya berbeza. Ada yang seperti biasa (bahasa Arab). Ada yang kesuluruhannya bacaannya dari awal hingga akhir dalam bahasa ibunda masing-masing.




3.3 Tentang Puasa Bulan Ramadhan

Dalam hal puasa Ramadhan merekapun tidak sependapat. Bagi yang baru jinak-jinak, mereka berpuasa seperti kita juga. Tetapi kalau sudah kuat faham ingkar sunnahnya mereka hanya mengakui wajibnya puasa. Adapun hari dan bulannya mereka mengingkari dengan alasan tidak ditentukan oleh Al-Quran.

3.4 Tentang Zakat

Pada umumnya mereka tidak mengetahui kewajiban zakat. Yang mereka hanyalah sedekah. Mereka mengertikan zakat itu dengan kecerdasan.

3.5 Tentang Haji

Mereka berpendapat bahawa haji boleh dikerjakan pada 4 bulan Haram iaitu : Zulqaidah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Alasannya, haji itu dijamin oleh Allah keamanannya. Kalau orang datang berkumpul semua pada bulan Zulhijjah sahaja untuk mengerjakan Haji, itu bukan keamanan lagi namanya.

3.6 Ajaran-Ajaran Yang Lain:
Masjidil Aqsa di palestin bukan tempat suci umat Islam.
Tempat suci umat Islam hanya di Mekah. Di Palestin tidak ada tempat suci umat Islam.
Nabi Muhammad tidak pernah solat menghadap Palestin. Nabi hanya pernah solat menghadap ke Utara
Seorang penganut agama asing yang hendak memeluk Islam tidak perlu bersyahadah didepan sesiapa dan tidak perlu dipersaksikan oleh pegawai untuk surat menyurat. Cukup sahaja dia mengatakan masuk Islam kepada Allah yang mengetahui gerak geri. Jika dia telah beristeri sebelum memeluk Islam kedua-duanya tidak perlu mengulangi nikahnya. Dan terdapat banyak lagi ajaran-ajaran mereka yang yang lain.

Golongan anti-Hadis ini berusaha sekuat tenaga untuk melenyapkan habis apa-apa yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan wahyu Ilahi serta petunjuk langsung dari Allah sebagai manusia pilihan untuk menerima kerasulan.
(Hj Isa Ismail & Yusof Hj Wanjor. 1996 : 13)


4.0 Penutup

Seperti mana yang telah disampaikan, kita sebagai manusia yang memeluk Islam semestinya tidak boleh membiarkan diri diperbodohkan oleh sekolompok orang-orang yang pada hakikatnya jahil tetapi cuba menonjolkan diri sebagai seorang yang pintar. Sebaliknya mereka ini pintar dalam memutarbelit sesuatu yang benar menjadi salah dan mudah

Rasulullah tidak mempunyai hak atau sewenang-wenangnya untuk memutuskan apa yang tidak ada diputuskan di dalam al-Quran. Begitulah ucapan orang-orang yang anti-Hadis. Tentunya ini bercanggah dengan mukjizat yang Allah berikan kepada seorang Rasul yang diutus untuk membawa sinar kepada Islam.

Justeru golongan Anti Hadis perlu ditentang kerana jelas sesat dan memporak perandakan masyarakat Islam. Walaupun sudah meresap ke dalam masyarakat Melayu namun golongan yang beilmu perlu berusaha dengan lebih keras untuk memupuk kefahaman kepada masyarakat dengan bantuan pihak berkuasa. Semoga segalanya dapat di atasi.














No comments: